Barangkali notifikasi di telefon bimbit kamu berada dalam tetapan senyap atau mungkin kamu tidak perasan pesanan yang baru sahaja aku hantar kepada kamu sebentar tadi.
Oh, tiada apa yang penting tentang pesanan yang aku hantar tadi. Hanya sebuah pesanan lima potong ayat ucapan selamat malam aku kepada kamu. Sebagai tanda kamu orang yang terakhir akan aku ingat sebelum aku tidur. Selepas menutup mata, wajah kamu menerpa dan aku akan terbayang-bayang hingga lekas aku berada di bawah minda separa sedar, waktu tidurku.
Esok paginya, sebuah pesanan lagi aku hantar kepada kamu. Oh iya, masih awal lagi. Mungkin kamu masih lena tidur didodoi oleh bunyi hujan yang mengetuk-ngetuk atap rumah. Tenang. Kerana jarak di antara dua buah titis hujan itu adalah ketenangan.
Tiada apa yang penting pun pada pesanan yang aku hantar pagi itu. Hanya aku titipkan ucapan selamat pagi bersama harapan agar hari-hari kamu dipermudahkan segalanya. Juga sebagai tanda ingatan, bahwa kamu orang pertama yang mampir dalam mindaku saat aku terjaga, selepas aku lafazkan rasa syukur pada Tuhan kerana beri aku masa untuk terus bernyawa.
Begitulah pada hari-hari seterusnya. Jarak di antara pesanan selamat pagi dan selamat malam, aku juga memikirkan kamu. Terlintas beratus kali, malah beribu untuk aku hantarkan pesanan ke telefon pintar kamu tapi aku jadi kaku dan pada waktu jeda antara kedua pesanan itu, aku hanya di situ, memerhatikan pesanan aku yang tidak berbalas. Menanti dan terus menanti.
::AsnawiAminudin::
No comments:
Post a Comment