Sunday, 28 December 2014

Hidup Yang Manis, Hidup Yang Perit.

Akukan selalu percaya
hidup ada yang manis
hidup ada yang perit;
perjalanan ini bukan cuma satu jalan
bahkan kau bisa melopong
jika ditunjukkan masa hadapan.

Hidup yang manis, hidup yang perit
kaukan selalu dengar aku merintih
mungkin alam juga berdekah-dekah ketawa
pabila melihat aku diam-diam menangis
kadang menjerit seperti orang gila
meraung minta semua dihentikan.
kadang kau juga sepertinya tidak sabar
mempercepatkan keselesaian derita
mungkinkah kau bersimpati
mendengar ketawaku berselingan tangis.

Hidup yang manis, hidup yang perit
aku selalu meminta doa-doa dikabulkan
padahal ketika Dia memanggilku
menjadi hamba yang taatkan perintah-Nya,
aku masih ragu-ragu
bermalasan dan masih bersuka ria tentang dunia
di situ aku sebenarnya manusia yang lupa
dengan anugerah hidup yang Dia janjikan;
"Bukan kerana-Mu Ya Allah doaku tidak Kau kabulkan. Adapun ini semua berlaku, kerana aku sendiri lupa tentang-Mu."

::ArieyWee::

Hujan

Senandung hujan melitup senja untuk hari ini.
Butir tetes airnya mulai meluruh jatuh di tubuh.
Aku meniti hujan.
Bersenandung luluh keping jasad menanti rebah.

Sementara hujan kian melebur lalu kering pergi.
Berkali ku usap wajah menyedarkan aku.
Terkaku aku untuk tetap meniti basah hujan ini sendirian
Terngiang suara infiniti.

Duhai jasad.
Aku gagal dalam perjuangan.
Gagal mencernakan setiap lafaz-lafaz dunia.
Aku tak dapat menyentuh air mata dalam air hujan.
Biarkan aku.

::KhairulAriffSaid::

Catatan : Penantian

Barangkali notifikasi di telefon bimbit kamu berada dalam tetapan senyap atau mungkin kamu tidak perasan pesanan yang baru sahaja aku hantar kepada kamu sebentar tadi. 

Oh, tiada apa yang penting tentang pesanan yang aku hantar tadi. Hanya sebuah pesanan lima potong ayat ucapan selamat malam aku kepada kamu. Sebagai tanda kamu orang yang terakhir akan aku ingat sebelum aku tidur. Selepas menutup mata, wajah kamu menerpa dan aku akan terbayang-bayang hingga lekas aku berada di bawah minda separa sedar, waktu tidurku.

Esok paginya, sebuah pesanan lagi aku hantar kepada kamu. Oh iya, masih awal lagi. Mungkin kamu masih lena tidur didodoi oleh bunyi hujan yang mengetuk-ngetuk atap rumah. Tenang. Kerana jarak di antara dua buah titis hujan itu adalah ketenangan.

Tiada apa yang penting pun pada pesanan yang aku hantar pagi itu. Hanya aku titipkan ucapan selamat pagi bersama harapan agar hari-hari kamu dipermudahkan segalanya. Juga sebagai tanda ingatan, bahwa kamu orang pertama yang mampir dalam mindaku saat aku terjaga, selepas aku lafazkan rasa syukur pada Tuhan kerana beri aku masa untuk terus bernyawa.

Begitulah pada hari-hari seterusnya. Jarak di antara pesanan selamat pagi dan selamat malam, aku juga memikirkan kamu. Terlintas beratus kali, malah beribu untuk aku hantarkan pesanan ke telefon pintar kamu tapi aku jadi kaku dan pada waktu jeda antara kedua pesanan itu, aku hanya di situ, memerhatikan pesanan aku yang tidak berbalas. Menanti dan terus menanti.

::AsnawiAminudin::

Catatan : Perihal Kita

Pada suatu-suatu ketika, ada berharap aku mampu memutar kembali masa - membawa kita pada titik mula kau dan aku bertemu. Membiarkan apa jua rasa yang sudah membenih pada titik mula itu, terus bercambah sehingga aku diberikan satu kekuatan untuk menyatakannya kepada kau.

Mungkin, kau tak pernah sedar atau sebenarnya kau sedar tentang aku yang pada titik mula itu sudah mula ada rasa aneh pada kau. Yang terpaksa aku telan sendiri mengharapkan kau sedar dan punya rasa yang sama - seperti aku.

Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Pada suatu titik lagi, kau dan aku tidak lagi berhubungan. Kau hilang tanpa jejak. Dan entah atas sebab apa, pada suatu titik yang lainnya, aku dipertemukan semula dengan kau. Dan segala perasaan yang aku sangka sudah terkubur selama kita terputus hubungan, seakan-akan kembali mengasak segala pelusuk hati dan jiwa

Dan kini, rasa itu terus juga di situ. Semakin bercambah sehinggakan aku tidak tahu bagaimana caranya untuk aku hentikan. Berharap seharap-harapnya aku bisa kuat untuk menerima keputusan andainya kau terpaksa aku lepas pergi. Tapi, kenapa ada rasa sakit tiap kali aku membayangkan yang kau tiada lagi di sisi?

Sehinggakan, ada suatu ketika aku berharap tiada lagi ingatan tentang kita. Suara kau tidak lagi terngiang-ngiang di telinga. Apa-apa jua tentang kita - kau dan aku, dibawa pergi bersama-sama rasa sakit yang tidak lagi terasa.

::Pitak::

Thursday, 11 December 2014

Simbolik Palsu

Kita bagai dua pergunungan yang tinggi
Terlalu tinggi puncaknya hingga tiada terdaki
Terlalu tinggi melangit hingga membolos pelangi
Dan kita, kita terlalu gah pada sendiri
Hingga ada terhakis lereng lereng kecil pada sisi, tidak pernah diambil peduli

Dan mungkin nanti, andai sampai ada antara kita yang akan condong membongkok kiri, kita mungkin cuma akan bersiul memejam mata dan mengakali hati
Kerna terlalu taksub mengejar tinggi

Dan ya,
Kita gandingan dunia
Pasangan mulia bagi tiap tiap penghela udara
Hingga mereka jadikan kita sebagai simbolik cinta--
Kononnya dua pergunungan yang tak akan rebah menyembah Adam Hawa

Tapi kasihan
Mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku
Antara engkau dan aku,
Kita cuma cinta palsu yang menunggu hari untuk musnah menjadi debu

:: El Joe ::

Tuesday, 2 December 2014

Perempuan Proletar

Sebermula,
Perempuan itu berbisik sinis
Melakarkan sebuah ceritera gerimis
Arakian dia mencipta elat dalam tangis
Saling tak tumpah seperti komunis

Perempuan itu simbiosis proletar
Seyogia dia tahu apa rasa perempuan seperti dia
Punya rasa punya hati punya jiwa
Sirnakan sifat menjadi faktor lara jiwa
Dalam asmaraloka mereka berdua

Perempuan itu persis tiada prakarsa
Menjernihkan kembali yang telah binasa
Malahan dia semakin aktif melakukan pidana
Meruntuhkan nilai cinta antara mereka

Perempuan itu merbahaya
Kata-katanya umpama hamburan api sang naga
Terhiris rasa, tersiat hati, terkisar jiwa
Jaga-jaga, lari jauh dari dia

:: Aainaa Narilsa ::