Wednesday, 12 November 2014

Kehausan Masa

Kipas berpusing,
Kedengaran angin
Jam berdetik progresif
Lancar tak berhenti
Jantung berdegup gelisah
Bergerak lincah dengan rencah rencana
Dengan masa mara laju sepantas daya

Lalu masa mengekang rasa
Melolos ketenangan lengang pada waktu senang
Mengerah setiap sendi bergerak
Menyuruh otak berfungsi pantas
Tiada delusi lelah dalam kapasiti misi
Ditembak mati kalau kau tidak mengelak
Ditumbang jatuh kalau kau sedia tanpa

Dahaga tak terkejar lari mengejar masa
Apa tiada air mampu menghilangkan kehausan ini?
Aku kehausan masa

Aku disekat oleh otoriti majusi
Tersumbat eskapisma minda dengan falsafah pengiraan
Terpaksa hiraukan ragam jiwa dari berbahasa bangsa

Sudah! Masa sedang memaksa pergi
Dan aku pula terpaksa membawa diri
Ke awangan kapitalisme yang kononnya indah
Yang sememangnya terpaksa aku relakan

::Amien::

Kembali

Malam dan aku berteleku.
Menikmati kegelapan yang datang bersama angin dingin.
Seperti malam-malam sebelumnya.
Aku dipeluk bayu.
Sambil memerhati dang mengamati sayup bait-bait lara sang pungguk yang merindu purnama.

"purnamaku,tiadalah yang lain seakanmu.Saban malam aku memujamu, kembali padaku."

Purnama terus menerus bersinar walau sesekali awan melintas.
Namun, masih saja cahayanya bisa menembusi jisim awan.
Malam aku.
Ada cerita suka.
Ada lembar hikayat duka.
Ada rahasia sedekad.
Ada ceritera bak hikayat sang biduan.

Saban malam.
Aku ucapkan selamat.
Selamat malam.

::Crxnckenstein::

Monday, 10 November 2014

Buta-bisu-pekak

Buta-bisu-pekak

Kau.
Yang kami pilih pangkah.
Bila kau mahu sedar?
Kau sebenarnya hamba ra'yat.
Bukan menghambakan ra'yat
Junjung amanah.
Kau perlukan kami-tiada kami kau tak bernadi.
Tapi kau selalu buta-bisu-pekak.
Mereka yang perlu kau-kau butakan mata.
Mereka yang bersuara-kau pekakkan telinga.
Dan kau bisukan mulut mereka.

:Kerol:

Thursday, 6 November 2014

Ibu

Wahai ibu
Ini warkah terakhir buatmu
Meski tiada darahmu yang mengalir dalam tubuhku
Meski tiada setitis susumu mengenyang perutku
Namun masih cintaku padamu
Tak terhisab tak terhitung

Ibu yang manis
Terima kasih untuk belai mesra
Yang kau hadiahkan buatku
Mengucup hangat dahiku
Memeluk erat tubuhku
Tanda kecintaan yang agung darimu

Ibu yang baik
Terima kasih atas ihsanmu
Menyayangi tanpa berbelah bagi
Mengasihi tanpa kenal erti jemu
Walau kita tak diikat oleh Tuhan sebagai keluarga

Ibu yang kuat
Terima kasih memanjakan aku
Tiada pernah aku terasa asing disisimu
Melihat kau terbaring kaku
Dengan susuk tubuhmu yang semakin mengecut
Mungkin masyghul hebat buatku
Namun andai itu bisa mengakhiri
Derita yang kau tanggungi
Aku ikhlas

Pulanglah kau wahai ibu
Ke sisi Dia yang mengasihimu
Beradulah kau wahai ibu
Dengan tenang di syurgaNya
Aku redha
Dan moga saja nantinya kita akan ketemu
Di akhirat sana

Ini kasihku sebagai anak
Tiada sedarah
Tiada sedaging

::IkaKatimin::

Oligasiku

Ada apa dengan dua rasa
Ada apa dengan dua jiwa
Embun embun cinta kian layu
Melagukan sendu

Ada apa dengan dua hati
Ada apa dengan sanubari
Kecindan kecil dipersoalkan
Kandil kasih dibungkuskan

Lemparan alkatipa
Bercerucuk sejarah hiba
Kurindui daratan tidak beralun
Kurindui peta perjalanan lama kita

Di langit kamar, waktu menjerat usia
Ada apa dengan dua rasa
Ada apa dengan dua jiwa
Tulisan merintih mementaskan derita
Mengalir menjadi arus gelisah

Kukutip memori tatkala dinihari
Terkurung sepi dalam kotak sendiri
Pertala racun menghiasi lautan darah diri
Kau oligasiku, menyepi kini

::AainaaNarilsa::

Kau dan aku

Aku sedang persiapkan diri aku untuk menjadi seseorang yang kau akan ingat pada masa hadapan nanti.

Seseorang yang kau tak pernah lekang dari senyum bila teringat kenangan kita nanti.

Seseorang yang kau akan merindui dari lubuk hati yang paling dalam tika aku tidur tenang disisi.

Seseorang yang kau boleh berpaut bahu tika kau sedang hampir jatuh dari tempat kau berdiri.

Seseorang yang menjadi separuh jiwa kau yang mana tanpa aku, jiwa kau separuh lagi tak akan berfungsi.

Seseorang yang menjadi mata kiri, telinga kiri, tangan kiri dan kaki kiri kau supaya tika kanan memerlukan kekuatan, ada aku yang mempertahankan

::AzrinZain::

Tuesday, 4 November 2014

Dari Villa Ke Syurga

Lelaki manis
Pernah ingat kedai makan di tepi villa
Tempat kita mula bertentang mata?
Aku menyukai senyummu yang bergula
Membikin aku tercandu padanya
Ibarat lebah yang ketagih nektar

Lelaki manis
Pernah ingat baris ayat pertama
Yang kau hantar sebagai tanda mula?
Ringkas tapi mengandung beribu makna
Hadir mengintai jiwaku yang lara
Buat mencipta sebuah mesra
Yang masih belum punya nama

Lelaki manis
Pernah ingat hitung kira masa
Kita dipisah jarak dan resah merindu?
Kita mendodoi hati dengan lagu merdu
Sabarlah menunggu hingga waktu ketemu

Lelaki manis
Pernah ingat tiap Sabtu yang kucuri darimu
Hanya untuk menatap rautmu?
Tiap kali itu juga aku jatuh cinta padamu
Berulang-ulang tanpa jemu
Kerna mencintamu itu rutin kegemaranku
Selalu

Lelaki manis
Kita akan selalu begini
Menjadi sepasangan yang saling mencintai
Dengan jumlah kasih infiniti
Hingga mati menemukan kita di syurga nanti

::IkaKatimin::

Hidup kedua

Rebahlah berkalang tanah
Hidup kembali nanti waktu langit merembes
Lembayung indah
Waktu itu, karangkan juga seribu madah
Tuk menyahut tiap rindu yang tidak terhujah
Tuk membalas tiap kasih yang tidak terluah
Rebahlah dan jangan kau gundah
Untuk kehidupan yang kedua kali yang lebih cerah

::ElJoe::

Gerimis Warna

Gerimis warna menyerlahkan tonanya
Lakaran hati menimbulkan rasa teruja
Bilamana terserlah dan timbulnya perasa
Terkadang fikir benarkah ia?
Mungkin ada berbagai tona di hujung gerimis warna
Mungkin ada pelbagai onar di balik keriangan jiwa
Terkadang kita terlebih sangkakan
Terkadang ia hanya kemungkinan
Mungkin ia bukan terkadang nya berlaku
Mungkin benar sekali ia rasa itu

::Aainaa Narilsa::

Kita dan Pantai

Jika satu hari nanti
Kamu terbang dari sini
Dan tak kembali
Aku akan selalu menanti

Di tepi sebuah pantai
Anginnya nyaman luar biasa
Menabrak terus ke kulit
Dan langitnya, biru muda

Seperti hari-hari kelmarin
Di mana kita punya cita-cita
Yang selalu kita kisahkan di tepi pantai ini
Bersama ombak-ombak yang datang dan pergi.

Mungkin nanti, sayang
Masa dan situasi bisa jadi penghalang
Tapi kita sudah memeterai janji
Di tepi sebuah pantai

Untuk saling ada
Buat kita berdua.

::AsnawiAminudin::

Tiada tajuk

Aku cuma punya sekeping hati.
Dan aku saja biarkan hati aku dipijak henyak.
Biar sampai mati.

Supaya aku tidak lagi belajar untuk mencintai.
Supaya aku tidak lagi belajar untuk menyayangi.

Pada mereka yang menjanjikan bahagia.
Bahagia yang ada tarikh luputnya.

Dan tarikh luput yang paling aku ingat.
Bila aku lihat genggaman tangan kau dan dia sangat erat.
Sangat erat.

::AzrinZain(Az)::

Senyawa


Oh bintang malam
Sampaikan rinduku padanya
Ingin aku ukirkan
Sinar itu dihatinya

Oh embun pagi
Bilang padanya
Ingin daku dakap dia erat dipelukanku
Saat bayumu membelenggunya

Oh langit
Aku mahu warna pelangimu yang tujuh
Menjadi santapan mataku dengannya
Membaluti bahagianya

Ingin aku khabarkan pada semua
Tentang isi hatiku
Tentang ceriteraku
Tentang segalanya
Pada dirinya

::Fizo::

Sunday, 2 November 2014

Melankolik Jiwa

Semusim berlalu
Aku tertinggal dalam duka lara
Makin dibantah makin resah
Disuruh bangkit rebah semula
Hilang diberadapan rindu

Tanya aku mengapa?
Aku ! Dia !
Sudah lama berakhir
Aku seperti jasad tak bernyawa
Laksana bangkai hina
Masih setia bak penagih
Menagih lagi kasih lama

Pekik orang disuruh bangkit
Jangan diingat yang tak sudi
Lagi tak menghargai
Saban hari menangis
Hujan membasahi pipi
Mengharap dia kembali
Walau aku tahu itu cuma mimpi

Begini seorang Perempuan
Entah berapa lama lagi,
Aku perlu mati dalam hidup ini.

::Cattleya::

Peluang

Berikan aku secangkir jiwa
Buat bekal mencari yang Esa
Kerna diri ini terlalu dangkal dimata-Nya
Izinkan aku berbagi kata
Mencari jiwa yang hilang ditelan usia
Saat nyawa mencari bekasnya
Momen bila ruh mencari pegangannya  

Terbaginya rasa itu pada Tuhan segala jiwa
Tentang seorang eskapis yang tak punya kuasa
Yang berlari dikejar dunia
Saat Yang Seterusnya mengekor hampir di belakang
Dibentes dengan kalam-kalam Tuhan
Yang mahu dia terus diberi kasihan  

Cukuplah Tuhan memberi pesan
Pada hamba yang tak punya rasa
Tentang Dunia sebelah sana
Dunia yang tak nampak pada zahirnya
Tapi jelas di dalam kalam-Nya

::Syamil::