Thursday, 8 October 2015

Dunia

Jiwa-jiwa kesal yang kian lupus
Meraung di hati yang tidak terlepas
Pinta simpati dari nyawa keparat
Entah bila yang akan diendah dengar

Hati-hati tulus kian mati
Kertas yang dituhankan membunuh sifat insani
Fikir yang hilang warasnya
Haloba dirajakan bertakhta

Dunia terseksa membawa suara-suara hiba
Asap kelabu berdebu membawa celaka
Esakan bayi, raungan jiwa tua hilang dalam wujud
Edan menjadi waras harta disujud suci

Andai dunia bisa bertahan sehari lagi
Apa mungkin kita bisa selesa bernafas
Andai neraka bisa diwujudkan di sini
Pasti neraka menjadi syurga kami

::AzwanHussaini::

Friday, 31 July 2015

Negeri

Manusia politik,
Manusia manifesto,
Tangan-tangan terbalut dusta,
kantung berisi bom waktu
Merompak wang rakyat;
sedang ria menjulang todi
Bau hamis
Hancing
Tengik
Sebuah negeri yang merdeka.

Negeri aku kah ini?

::Kerul::

Mimpi Dalam Mimpi

Dalam mimpi aku bermimpi
Mulut bersiul lagu-lagu ngeri
Berzikir nama-nama suci di dalam hati
Kecewa, amarah merasuk diri

Dalam mimpi aku bermimpi
Kembali hidup selepas mati
Masih berdiri di negeri ngeri
Aku bingung, mahu kembali mati

Dalam mimpi aku bermimpi
Menyoal pada diri sendiri
Apakah gagak masih meraja
Apakah merpati masih terseksa

Dalam mimpi aku bermimpi
Usung bangkai-bangkai busuk
Dalam mimpi aku bermimpi
Bakar nyawa-nyawa hidup

Aku bangun dari mimpi
Masih lagi harmoni
Gagak masih bersama takhta
Merpati kian mati terseksa

::AzwanHussaini::

Friday, 19 June 2015

May, 27

Moga , sewaktu ketiadaan ku
kau baik baik saja

sepertinya sedari dulu
kau sudah terbiasa bersendiri
tanpa ada aku disisi
tanpa kita yang mencipta memori

ketika aku menulis puisi ini ,
tahu sajalah kamu bahawa
kau masih yang terindah
dalam antara setiap cerita
kau masih yg terindah dalam semua kata
kau masih lagi yang terindah ,
sehinggakan bulan pun malu untuk mengeluarkan sinar

::Schera::

Friday, 5 June 2015

Jatuh

BUK!
Tergolek di dataran binatang
Selamat sejahtera! Tiba-tiba.
Adakah kamu nampak bulu-bulu gemilang aku, ia telah dicuri!
Disambar entah siapa tika aku lena!
Adakah kamu nampak?
Pasti kamu nampak!
Soalan diasak
Dia semakin terdesak
Para babi menggeleng
Menyambung makan - di lembah hina
Para gagak terbahak
Menguis bangkai  - di pusat sampah
Para lembu cuba berfikir
Carilah di punggungmu, usul terakhir.

Si merak berlalu
Pertama kali jalannya, tunduk.

::Emoqwin::

Tuesday, 14 April 2015

Senja

Senja,
Waktu konklusi untuk petang
Waktu pendahuluan untuk tibanya malam
Petang dan malam
Bertembung minta senja jadi perumus dan perancang.
Senja,
Terbenamnya sang mentari
Terkadang teriknya memedihkan
Terkadang redupnya mendamaikan.
Senja,
Fenomena di mana natural beauty alam ini
Jelas kelihatan, jelas terpancar
Indahnya ciptaan Tuhan
Walau senja senyap sepi membisu
Senja juga waktu penemu antara manusia
Dan juga, penemu antara DIA dan hambaNya.

::AainaaMn::

Maghrib

Disitu dia tinggalkan malas yang bertamu,
Tatkala azan menderu
Melupakan candu dunia.
Yang rakus meminta-minta.

Dia merungkai ikatan yang menjerut.
Setelah bertemu dengan kemanisan ibadah.
Setelah dia sedar
Masa tak akan ada selagi diadakan.

Dengan ikhlas, dia lucutkan kemeja ego.
Melupakan runtun dunia yang sentiasa menggoda
Tak pernah berhenti.

Tiada dia pernah jemu
Datang dan pulang.
Membimbit seguni jiwa.

::Kerol::